Hadis




Hadis-hadis Kelebihan Bersedekah

Hadis-hadis Rasulullah Tentang Kelebihan Bersedekah
(Susunan: Ibnu Umar Asseluluni)

Berikut adalah diantara hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang kelebihan
bersedekah, mudah-mudahan dengan menghayatinya memberikan galakan
kepada kita semua untuk rajin bersedekah.

Hadis-1

[Mafhumnya] Orang yang mengusahakan bantuan (pertolongan) bagi janda dan
orang miskin ibarat berjihad dijalan Allah dan ibarat orang solat malam. Ia tidak merasa lelah dan ia juga ibarat orang berpuasa yang tidak pernah berbuka.
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

Hadis-2

[Mafhumnya] Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari
kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

Hadis-3

[Mafhumnya] Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari
kalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi
datangnya bencana.
(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)

Hadis-4

[Mafhumnya] Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya,
"Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi S.a.w. menjawab, "Bekerja
dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu
Bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Nabi
menjawab: "Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya"
Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi menjawab:
"Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak
melakukannya?" Nabi S.a.w. menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan
itulah sedekah."
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Hadis-5

[Mafhumnya] Orang yang membatalkan pemberian (atau meminta kembali)
sedekahnya adalah seperti anjing yang makan kembali muntahannya.
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

Hadis-6

[Mafhumnya] Barangsiapa diberi Allah harta dan tidak menunaikan zakatnya
kelak pada hari kiamat dia akan dibayang-bayangi dengan seekor ular bermata satu di tengah dan punya dua lidah yang melilitnya. Ular itu mencengkam kedua rahangnya seraya berkata, "Aku hartamu, aku pusaka simpananmu." Kemudian nabi s.a.w. membaca firman Allah surat Ali Imran ayat 180: "Dan janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari karunia-Nya menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi."
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari)

Hadis-7

[Mafhumnya] Abu Dzarr R.a. berkata bahawa beberapa sahabat Rasulullah
s.a.w. berkata, "Ya Rasulullah, orang-orang yang banyak hartanya memperoleh
lebih banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat dan berpuasa
sebagaimana kami berpuasa dan mereka boleh bersedekah dengan kelebihan
harta mereka." Nabi s.a.w. lalu berkata, "Bukankah Allah telah memberimu apa
yang dapat kamu sedekahkan? Tiap-tiap ucapan Tasbih adalah sedekah, Takbir
sedekah, Tahmid sedekah, Tahlil sedekah, Amar Makruf sedekah, Nahi Mungkar
sedekah, Berjimak dengan isteri pun sedekah." Para sahabat lalu bertanya,
"Apakah memuaskan nafsu syahwat mendapat pahala?" Nabi menjawab,
"Tidakkah kamu mengerti bahawa kalau dipuaskan nafsu syahwat di tempat
yang haram bukankah itu berdosa? Begitu pula kalau syahwat diletakkan di
tempat halal, maka dia memperoleh pahala.
(Hadis Riwayat: Imam Muslim)

Hadis-8

[Mafhumnya] Tiap-tiap amalan makruf (kebajikan) adalah sedekah.
Sesungguhnya di antara amalan makruf ialah berjumpa kawan dengan wajah
ceria (senyum) dan mengurangi isi baldi mu untuk diisikan ke mangkuk kawan
mu.
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)

ingat ZAKAT, tunai ZAKAT, hidup BERKAT!